Thursday, August 19, 2010

Geografi Malaysia

Maklumat-maklumat yang hendak dikongsi berkaitan Geografi Malaysia:

Iklim

Iklim Malaysia mempunyai suhu yang hampir seragam, kelembapan yang tinggi dan hujan yang banyak. Angin pada amnya lemah. Malaysia yang terletak berhampiran khatulistiwa amat jarang sekali mempunyai keadaan langit tidak berawan langsung, meskipun pada musim kemarau teruk. Malaysia juga jarang sekali mempunyai satu tempoh beberapa hari dengan tidak ada langsung cahaya matahari kecuali pada musim monsun timur laut.

Kedudukan

Malaysia terletak di Hemisfera Utara, iaitu bahagian utara dari Garisan Khatulistiwa. Ia terdiri daripada 2 kawasan utama yang dipisahkan oleh Laut China Selatan (531.1 kilometer persegi). Kedua-dua kawasan berbentuk muka bumi yang hampir sama, iaitu pinggir laut yang landai, hutan tebal dan bukit bukau. Iklimnya ialah khatulistiwa tetapi bagi sesetengah tempat di Malaysia, terutamanya di bahagian utara Semenanjung Malaysia dan utara Sabah mengalami iklim monsun tropika.

Semenanjung Malaysia, meliputi seluas 131,598km² bersempadan dengan Negara Thai di utara dan Singapura di selatan manakala Sabah yang seluas 73,711km² dan Sarawak yang seluas 124,449km² bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia.

Malaysia terbahagi kepada 13 negeri dan 3 wilayah persekutuan. Negeri yang terbesar merupakan Sarawak ,melebihi 124,000km². Pahang yang mempunyai keluasan 35,965 km² merupakan negeri yang terbesar di Semenanjung Malaysia manakala Perlis yang seluas 795 kilometer persegi adalah negeri yang terkecil.

Negeri Sabah dan Sarawak terletak di pulau Borneo. Negeri Sabah terdiri daripada lima bahagian, iaitu Tawau, Sandakan, Kudat, Pantai Barat, dan Pedalaman. Wilayah Persekutuan Labuan, dengan keluasan 91km² adalah terletak di persisiran pantai barat Sabah. Sarawak terdiri daripada Kuching, Sri Aman, Sibu, Miri, Sarikei, Limbang, Kapit, Bintulu dan Kota Samarahan.

Malaysia berhampiran dengan khatulistiwa antara garisan lintang 1 dan 7 Utara dan garisan bujur 100 dan 119 Timur dan tertakluk kepada pengaruh laut dan perubahan sistem angin yang bertiup dari Lautan Hindi dan Laut China Selatan. Lazimnya iklim di sini terbahagi kepada musim monsun barat daya dan monsun timur laut. Purata suhu di hampir keseluruhan Malaysia ialah antara 21 C hingga 32 C. Kelembapannya dikatakan agak tinggi

Angin

Walaupun angin di Malaysia pada amnya lemah dan arahnya berubah-ubah, terdapat perubahan bertempoh dalam corak tiupan angin. Berdasarkan kepada perubahan ini, empat musim boleh dibezakan iaitu monsun barat daya, monsun timur laut dan dua musim peralihan monsun yang lebih pendek.

Monsun barat daya biasanya bermula pada setengah terakhir bulan Mei atau awal bulan Jun dan tamat pada akhir September. Angin lazim pada amnya dari arah barat daya dengan kelajuan yang lemah, iaitu di bawah 15 knot.

Monsun timur laut biasanya bermula pada awal November dan berakhir pada Mac. Semasa musim ini, angin lazim adalah dari arah timur atau timur laut dengan kelajuan antara 10 dan 20 knot. Negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia serta bahagian utara dan pantai timur laut Sabah lebih terjejas dengan tiupan angin yang boleh mencapai 30 knot kelajuannya, atau lebih semasa luruan kuat udara sejuk dari Siberia (luruan angin musim sejuk).

Semasa musim-musim peralihan monsun, angin pada amnya berkelajuan lemah dan arahnya berubah-ubah. Pada kedua-dua musim ini, palung khatulistiwa merentangi Malaysia.

Dalam tempoh dari April hingga November semasa taufan kerap kali terbentuk di barat Pasifik dan bergerak ke arah barat merentasi Filipina, angin barat daya di kawasan barat laut pantai Sabah dan kawasan Sarawak menjadi lebih kuat dan boleh mencapai 20 knot atau lebih.

Sebagai negara yang dikelilingi oleh laut, kesan bayu laut dan bayu darat ke atas corak tiupan angin adalah besar, terutamanya semasa hari tidak berawan. Pada keadaan petang yang terang cahaya matahari, bayu laut dengan kelajuan antara 10 dan 15 knot selalunya terjadi dan bayu ini boleh mencapai beberapa puluh kilometer ke dalam kawasan pedalaman. Dalam keadaan malam langit terang, proses sebaliknya berlaku di mana bayu darat yang lebih lemah kelajuannya boleh terjadi di kawasan pantai.

Taburan hujan

Corak tiupan angin bermusim bersama sifat topografi tempatan menentukan corak taburan hujan di Malaysia. Semasa musim timur laut, kawasan yang terdedah seperti kawasan pantai timur Semenanjung Malaysia, kawasan Sarawak Barat dan kawasan pantai timur laut Sabah mengalami beberapa tempoh hujan lebat. Sebaliknya, kawasan pedalaman atau kawasan yang dilindungi banjaran gunung adalah secara relatifnya bebas dari pengaruh ini. Adalah lebih baik taburan hujan di Malaysia diterangkan mengikut musim.

Perubahan hujan bermusim di Semenanjung Malaysia

Perubahan hujan bermusim di Semenanjung Malaysia boleh dibahagikan kepada tiga jenis utama:

(a) Bagi negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia, November hingga Januari merupakan bulan-bulan yang mempunyai curahan hujan yang maksimum, manakala Jun dan Julai mempunyai curahan hujan yang minimum.

(b) Corak hujan di kawasan selain kawasan pantai barat daya Semenanjung Malaysia menunjukkan dua tempoh hujan maksimum yang dipisahkan oleh dua tempoh hujan minimum. Maksimum utama biasanya berlaku pada bulan Oktober hingga November, manakala maksimum sekunder berlaku pada bulan April hingga Mei. Di kawasan barat laut, minimum utama berlaku pada bulan Januari hingga Februari, manakala minimum sekunder berlaku pada bulan Jun hingga Julai. Di lain-lain tempat, minimum primer berlaku pada bulan Jun hingga Julai, manakala minimum sekunder berlaku pada bulan Februari.

(c) Corak hujan di kawasan pantai barat daya Semenanjung Malaysia lebih dicorakkan oleh kejadian 'Sumatera' pagi pada bulan Mei hingga Ogos dan corak maksima serta minima berganda tidak wujud. Oktober dan November adalah bulan yang mempunyai hujan maksimum, manakala Februari adalah bulan yang mempunyai hujan minimum. Maksimum pada bulan Mac hingga Mei dan minimum pada bulan Jun hingga Julai tidak wujud atau kurang jelas.

Perubahan hujan bermusim di Sabah dan Sarawak

Perubahan hujan bermusim di Sabah dan Sarawak boleh dibahagikan kepada lima jenis utama:

(a) Kawasan pantai Sarawak dan timur laut Sabah mengalami corak hujan satu maksimum dan satu minimum. Kedua-dua kawasan mengalami hujan maksimum pada bulan yang sama, iaitu Januari, manakala bulan untuk hujan minimum berbeza. Di kawasan pantai Sarawak, hujan minimum berlaku pada bulan Jun atau Julai, manakala di kawasan timur laut pantai Sabah, hujan minimum berlaku pada bulan April. Di bawah aturan ini, kebanyakan hujan diterima pada bulan-bulan monsun timur laut, iaitu Disember hingga Mac. Sesungguhnya, lebih separuh daripada hujan tahunan diterima di kawasan barat Sarawak.

(b) Kawasan pedalaman Sarawak pada amnya mengalami taburan hujan tahunan yang agak sekata. Walaupun begitu, agak kurang sedikit hujan diterima semasa tempoh Jun hingga Ogos, sesuai dengan kejadian angin lazim barat daya. Perlu di nyatakan di sini bahawa hujan tahunan tertinggi di Malaysia berlaku di cerun bukit kawasan pendalaman Sarawak. Long Akah menerima hujan tahunan purata yang melebihi 5,000 milimeter.

(c) Kawasan barat laut pantai Sabah mengalami corak hujan dua maksima dan dua minima. Maksimum utama berlaku pada bulan Oktober dan maksimum sekunder berlaku pada bulan Jun. Minimum utama berlaku pada bulan Februari manakala minimum sekunder berlaku pada bulan Ogos. Walaupun perbezaan jumlah hujan yang diterima pada kedua-dua bulan maksimum adalah kecil, namun perbezaan jumlah hujan yang diterima pada minimum utama adalah jelas lebih rendah berbanding sekunder minimum. Di sesetengah tempat, perbezaan mencapai setinggi empat kali ganda.

(d) Di kawasan tengah Sabah di mana keadaannya berbukit dan terlindung oleh banjaran gunung, hujan yang diterima adalah lebih rendah secara relatif berbanding dengan kawasan-kawasan lain serta taburannya agak sekata. Akan tetapi, dua maksima dan dua minima boleh diperhatikan. Pada amnya, dua minima berlaku pada bulan Februari dan Ogos, manakala dua maksima berlaku pada bulan Mei dan Oktober.

(e) Kawasan selatan Sabah mengalami taburan hujan yang sekata. Jumlah hujan tahunan yang diterima boleh diperbandingkan dengan bahagian tengah Sabah. Februari hingga April adalah tempoh agak kering berbanding bulan-bulan lain.

Petikan dpd Wikipedia

Geografi

Geografi merupakan kajian tentang lokasi dan variasi ruang dalam fenomena manusia dan fizikal di bumi. Perkataan geografi diambil dari perkataan Inggeris yang berasal dari perkataan Greek hê gê ("bumi") dan graphein ("menulis" atau "menggambarkan").

Geografi juga merupakan pelbagai buku sejarah berkenaan bidang ini, khususnya Geographia oleh Klaudios Ptolemaios pada abad ke-2.

Geografi lebih daripada pengkajian peta. Ia bukan hanya menyiasat dimana kedudukan di bumi, kadang kala digelar kedudukan di angkasa. Geografi mengkaji sama ada ia disebabkan oleh manusia atau secara semulajadi. Geografi juga mengkaji kesan perbezaan tersebut.

Geografi Fizikal:

Geografi fizikal adalah cabang geografi yang membincangkan tentang keadaan fizikal bumi. ia membincangkan tentang:

1.Bumi sebagai satu sistem
2.Batuan
3.Laut dan lautan
4.Iklim
5.Luluhawa
6.Ekosistem
7.Tumbuhan dan haiwan liar.

Geografi Manusia

Aspek manusia pula merangkumi aspek ekonomi, politik, kebudayaan, meterologi dan ekologi bumi yang dipengaruhi oleh kegiatan manusia. Aspek manusia lebih tertumpu kepada sains kemasyarakatan. Ini memberi penerangan tentang cara-cara manusia menyesuaikan diri dengan alam sekeliling dan kesan-kesan kegiatan manusia.Terdapat juga kajian dijalankan mengenai Penggunaan Sistem Maklumat Geografi (GIS) dalam Penilaian Harta Tanah Kediaman[1] Terdapat beberapa bidang dalam Geografi Manusia. Antaranya ialah Geografi Bandar,Geografi Ekonomi, Geografi Politik, Geografi Sejarah, Geografi Budaya, Geografi Kesihatan, Geografi Perniagaan, Demografi, Geografi Agama dan sebagainya.

Geografi Persekitaran Manusia

Pada sekitar pelupur alam sekeliling (environmental determinism), geografi ditakrifkan bukan mengenai pengkajian hubungan ruang, tetapi mengenai kajian bagaimana manusia dan alam sekitar berinteraksi. Walaupun pelupur alam sekeliling berkurangan, masih terdapat tradisi geografer yang menumpukan hubungan antara manusia dan alam sekitar. Terdapat dua cabang bidang geografi alam sekitar manusia: ekologi kebudayaan dan politik (cultural and political ecology (CAPE)), dan kajian ancaman semulajadi.

Petikan dpd Wikipedia